Tuesday, July 7, 2015

“Homeless”


“Ya Allah....kasihan mereka...”
Hanya itu yang mampu kuucapkan dalam hati tatkala mendengar perbualan Tang, rakan niagaku dengan si penjual air dan buah di sebelah gerai kain 'bundle'ku petang tadi. Masya Allah...seluruh blok I di sebelah kiri pasar malam gelap dan sunyi. Biasanya ketika ini, lampu sudah terpasang dan jeritan kanak-kanak sudah menghidupkan suasana di blok itu.
“Sejak bila pihak Majlis Daerah memasang rantai pada pintu rumah kamu?” tanya si  penjual buah itu kepada kakak yang menggendong seorang anak perempuan berumur dalam lingkungan  satu tahun.
“Baru sebentar tadi.” Kakak itu menjawab tenang. Dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Kulihat dua orang anak di belakangnya mengekori langkah ibunya. Saya kenal kakak itu. Beberapa bulan lepas dia pernah mendatangiku untuk membeli beberapa pasang pakaian terpakai untuk anak-anaknya. Dia pernah menyuarakan isi hatinya untuk menghantar anak sulungnya, Syuhada untuk mengambil tuisyen Bahasa Melayu denganku. Syuhada...serupa dengan namaku. Dia tak pernah sampai ke rumahku. Aku faham. Mungkin masalah kewangan. Kakak itu memandangku lantas mengangguk dan tersenyum. Senyuman manis seperti selalu. Subhan Allah, saat-saat diuji seperti itupun dia masih mampu tersenyum.
“Jadi kakak tinggal mana malam ni?” sambung si penjual buah lagi.
  “Tinggal mana lagi..kami tidur di luar rumah ja lah,” ujar kakak itu tenang.
Masya Allah, saya melihat ke arah anaknya yang masih kecil. Saya membayangkan koridor rumah yang sempit itu. Hati kecil saya dijamah kepiluan. Petang ini Majlis Daerah telah bertindak merantai dan mengunci pintu rumah penghuni blok-blok yang masih belum pindah dan  mencari rumah lain selepas diberi notis kali yang ke empat. Penghuni di empat buah blok itu diberi masa selama enam bulan sahaja untuk 'menumpang' sementara di situ tanpa membayar sewa rumah akibat penempatan setinggan yang dirobohkan sejak September tahun lepas.
“Ya Allah, Engkau tabahkanlah hati mereka. Engkau lindungilah anak-anaknya daripada sakit dan bahaya pada malam ini. Amin.” Aku berdoa dalam hati.
Homeless. Malam ini entah berapa puluh atau ratus orang yang tidak ada rumah untuk berteduh. Astaghfirullah haladzim... aku tidak sepatutnya mengeluh. Ini baru di dunia, belum lagi di syurga. Kalau di dunia, kita kehilangan rumah untuk berteduh sudah mencalar iman kita, apatah lagi jika kita diberitahu bahawa kita tidak mempunyai tempat di syurga nanti. Tidak layak memijakkan kaki ke syurga.
Ya Allah, ya Rahman, ya Malik...aku memohon agar Engkau menerima solatku, ibadah dan amalku. Aku ingin memasuki Firdausi, syurga-Mu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa dan Maha Pengasih. Hanya kepada-Nya kita berserah dan beriman. Saat bencana datang tanpa diduga, tabahkanlah hatimu dan biarkan lidahmu berzikir “La illaha illah anta subhanaka inni kuntu minaz zolimin”. Astaghfirullah haladzim alladzi la illaha illa huwal hayull qayyum wa atubu illaik.



Taman Hartamas,
9:32 pm, 20hb Mac 2015.
Jumaat.